30 Mac 2021, Seberang Jaya : Zakat Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang hari ini selangkah lagi ke hadapan dalam usaha membantu asnaf memerlukan di negeri Pulau Pinang melalui Program Tunas Usahawan Zakat (TUZ) yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Memorandum Persefahaman yang ditandatangani antara Zakat Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang diwakili oleh En. Amran Hazali, CEO ZPP dan SME Corp. Malaysia diwakili oleh Dato’ Sri Syed Hussien Al-Habshee, Pengerusi SME Corp. Malaysia pada hari ini merupakan kerjasama pintar yang mempunyai objektif membantu menaik taraf usahawan asnaf dari penerima zakat kepada pengeluar zakat melalui perkongsian maklumat, latihan pembangunan modal insan, pembiayaan serta khidmat nasihat dan bimbingan perniagaan kepada usahawan asnaf di bawah bimbingan Zakat Pulau Pinang bagi membolehkan mereka menjana pendapatan jangka panjang. Turut hadir pada majlis tersebut ialah Dr Roslan Bin Ahmad, Timbalan Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
TUZ ini merupakan kerjasama di antara SME Corp. Malaysia iaitu sebuah agensi di Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) dengan Zakat Pulau Pinang bagi menggalakkan keusahawanan dan membangunkan perniagaan dalam kalangan usahawan asnaf.
Jalinan kolaborasi seperti ini tidak akan terhenti di sini sahaja, bahkan akan diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang dalam pelbagai pendekatan, demi kelestarian usaha pemerkasaan keusahawanan asnaf zakat di Pulau Pinang.