BUTTERWORTH, 9 OGOS 2022 – Program MyHAUS ini merupakan inisiatif yang digerakkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) sebagai agensi perantara kerajaan persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di dalam memperkasa dan memajukan pembangunan sosio-ekonomi ummah dalam sistem kewangan sosial Islam seperti zakat dan wakaf melalui kerjasama erat dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri-negeri dan agensi serta syarikat korporat yang berkaitan.
Program kali ini merupakan kerjasama strategik antara Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerusi Program MyHAUS iaitu satu program membina dan membaik pulih rumah bagi golongan asnaf dan B40 yang dilaksanakan di seluruh Malaysia.
Replika kunci Rumah Program MyHAUS hari ini telah diserahkan oleh YBhg. Dato’ Selamat Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR. 2 orang penerima tersebut adalah Pn. Norazizah Abdull dari Permatang Pak Elong dan En. Mohd Zairuddin Abd Aziz dari Pokok Sena.
Turut menyaksikan penyerahan replika kunci tersebut, Dato’ Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, MAINPP, En Ku Abdul Razak Ku Ismail, Pengurus State Stakeholders Affair, Tenaga Nasional Berhad dan Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia.
Turut hadir, En. Mohd Yusof Hamid, Penghulu Tinggi, Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara.