24 November 2021, Bayan Lepas : Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian (MOA) diantara ZPP dengan USM (ISDEV) telah berlangsung di USM, Minden, Pulau Pinang. Ucapan Aluan dimulakan oleh YBrs Profesor Dr. Md Roslan bin Hashim, Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM yang mewakili Naib Canselor USM, YBhg Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan. Seterusnya ucapan dari En. Amran Hazali, selaku Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang serta ucapan penyempurnaan oleh YB. Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
MASA@Sungai Nibong merupakan singkatan kepada Projek Makmal Sosio-Akademik di Pangsapuri Wakaf Siti & Hajjah Norijah di Sungai Nibong yang diusahakan oleh Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang (ZPP) yang disokong Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Wakaf Pulau Pinang (WPP).
MASA@Sungai Nibong ini berhasrat membangunkan 24 buah keluarga asnaf (merupakan 10% ke bawah golongan B40 yang diperoleh daripada data ZPP) yang telah dipilih untuk mengikuti Modul Pembangunan Insaniah yang telah dibangun oleh pihak ISDEV, USM dengan harapan bukan sahaja dapat mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan malah dapat membentuk muzakki yang lebih beriman dan bertaqwa. Hasrat ini sekaligus sebagai usaha untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari, SDGs (1- Sifar kemiskinan; 10 – Mengurangkan ketidaksamaan; 11 – Bandar dan komuniti lestari; dan 17 – Kerjasama untuk matlamat).
Projek ini dilaksanakan di Pangsapuri Wakaf Siti & Hajah Norijah supaya dapat membentuk satu Komuniti Muslim Bandar sebagai salah satu hasil manfaat Wakaf tersebut.
Simbolik penandatanganan MOA tersebut telah disaksikan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan juga beberapa tetamu hormat yang hadir pada majlis tersebut.