Majlis Serahan Dermasiswa Premium Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 & Pengumuman 2 Skim Agihan Baharu.
Majlis Serahan Dermasiswa Premium ini merupakan agihan dermasiswa zakat tahunan yang dianugerahkan kepada para pelajar yang layak bermula dari peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana (master) dan ijazah doktor falsafah (Ph.D) di dalam negara dan di luar negara dalam semua bidang pengajian yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Tahun ini, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang mengumumkan bahawa sejumlah RM17 juta telah diperuntukkan untuk Skim Dermasiswa Pengajian untuk pelajar Muslim di negeri Pulau Pinang.
Pengumuman tersebut telah dibuat oleh YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dalam ucapan penyempurnaan beliau.
Tambah beliau lagi, demi merencanakan dasar pembangunan Negeri Pulau Pinang berdasarkan Visi Penang2030: “A Family Focused Green and Smart State that Inspires the Nation”, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang turut menyediakan dua lagi skim agihan baharu iaitu Skim Dermasiswa yang dibuka kepada para pelajar Pulau Pinang yang belajar di seluruh Politeknik bermula peringkat Diploma dan ke atas dengan agihan tambahan dermasiswa berjumlah RM2 juta.
Satu lagi skim baharu adalah Skim Permulaan Pelajar Tingkatan 6 Rendah yang mana setiap pelajar akan menerima sebanyak RM800.00 secara ‘one off’. Melibatkan peruntukan sebanyak RM800,000.00 (Ringgit Malaysia: Lapan Ratus Ribu)
YB Dato’ Dr. Mohamad turut menyeru kepada penerima skim dermasiswa, supaya tidak lupa kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan agensinya Zakat Pulau Pinang dengan berazam untuk menjadi pembayar zakat agar dapat menyalurkan pula bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan di Negeri Pulau Pinang.