Program Taklimat Guru Penyelaras MPDCA Tahun 2024 ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Rosidi Hussain, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mewakili YB Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Program ini telah dihadiri oleh guru-guru penyelaras program MPDCA dari sekolah rendah dan sekolah menengah yang terpilih.
Mutiara Program Didik Cemerlang Akademik (MPDCA) telah dilaksanakan sejak tahun 2006 menggabungkan 3 agensi penaja iaitu Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputra, Jabatan
Perdana Menteri (ICU), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) & MAINPP di bawah kendalian dan pemantauan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP). Program ini telah meningkatkan prestasi pelajar UPSR dan SPM di negeri Pulau Pinang.
MAINPP telah memperuntukkan dana sebanyak RM2 juta di bawah peruntukan asnaf fakir dan miskin untuk program ini. la melibatkan kos tuisyen tahunan yang berjumlah RM1.5 juta dan kos pelaksanaan bengkel dan kem sebanyak RM500,000.00.
Pada tahun 2024 ini, MAINPP menaja sebanyak 70 buah Sekolah Kebangsaan dan 33 buah Sekolah Menengah termasuk Sekolah Menengah Agama di Pulau Pinang.
Dato’ Haji Rosidi yang mewakili Timbalan Ketua Menteri 1 turut merakamkan ucapan terima kasih buat semua pembayar-pembayar zakat terutamanya dalam kalangan pegawai-pegawai pendidikan dan guru-guru. Dengan dana zakat yang dikutip, MAINPP melalui agensinya, Zakat Pulau Pinang (ZPP) dapat mengagihkan kepada asnaf-asnaf yang memerlukan lebih-lebih lagi kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan untuk meningkatkan prestasi akademik mereka selari dengan VISI PENANG2030 iaitu untuk melahirkan modal insan yang berimpak tinggi dalam kalangan pelajar-pelajar Muslim terutama di Pulau Pinang.
Hadir sama dalam program ini, En. Mohamad Kairi Ghazalli, Ketua Pegawai Projek ZPP; Tuan Haji Fakhruddin Abd Rahman, Ketua Bahagian Akademik dan Pendidikan MAINPP; Encik Hairol Amin Salim, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Sains Sosial JPNPP; Pegawai-pegawai JPNPP dan guru-guru penyelaras MPDCA sekolah rendah dan sekolah menengah sesi 2024.
Semoga program ini mendapat keberkatan dan menjadi usaha yang bernilai di sisi Allah SWT. Ameen…