Kadar bayaran Zakat Fitrah bagi Pulau Pinang tahun ini ditetapkan pada tiga kadar berbeza iaitu RM7, RM14 dan RM21, meningkat sedikit berbanding tiga kadar sama tahun 2023 iaitu RM7, RM13 dan RM20.
Timbalan Ketua Menteri 1, YB. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, mana-mana individu yang ingin membuat bayaran lebih tinggi berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengumumkan perkara tersebut dalam Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah & Sumbangan Ehya’ Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024 yang diadakan hari ini.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan anugerah Kutipan Zakat Fitrah Terbaik Tahun 2023. Tiga anugerah yang terlibat adalah, Anugerah Kutipan Zakat Fitrah Tanpa Tunai Tertinggi, Anugerah Peratusan Kenaikan Kutipan Tertinggi dan Anugerah Pengurusan Fitrah Terbaik.
Pada tahun ini, Zakat Pulau Pinang melantik seramai 1,699 orang Amil Zakat Fitrah yang melibatkan 237 pusat kutipan bagi memungut
Zakat Fitrah di seluruh negeri Pulau Pinang.
YB. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid turut memaklumkan bahawa pada tahun 2024 ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM260,000.00 sebagai sumbangan Ehya’ Ramadan kepada masjid-masjid dan surau Jumaat di Pulau Pinang melibatkan sebuah masjid negeri, 6 buah masjid daerah, 208 buah masjid kariah, 14 buah masjid biasa (Ghairu Jamek) dan 21 buah surau Jumaat dengan jumlah keseluruhan ialah sebanyak 250 buah masjid dan surau jumaat di Pulau Pinang.
Bagi tujuan pengimarahan masjid sepanjang tahun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000,000.00 kepada 7 buah masjid utama negeri Pulau Pinang (Masjid Negeri dan 6 buah masjid daerah).