Penganjuran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang tahun 2023 (BZNPP2023) telah memasuki tahun kelima penganjurannya. Objektikf utama Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang ialah untuk menyemarakkan kesedaran berzakat kepada umat Islam seterusnya memberi manfaat dan impak yang besar kepada pembayar dan penerima zakat khususnya di Negeri Pulau Pinang.
Majlis telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Sebanyak 15 pengisian program telah diaturkan sepanjang Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang pada tahun ini. Pelaksanaan program- program tersebut berfokuskan kepada pendekatan dakwah zakat yang lebih efektif dalam melahirkan prospek muzakki dan menyantuni mustahik dengan efisien di negeri Pulau Pinang.
Antara program yang telah diatur adalah Pelancaran Dakwah Truck Zakat Pulau Pinang (ZPP), Program Himpunan Murabbi, Penyerahan Skim Dermasiswa Pengajian dan Skim Permulaan IPT, Penyerahan Saguhati Guru Agama serta Guru al-Qur’an Pulau Pinang dan Ziarah Kasih Asnaf.
Semoga dengan penganjuran Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang pada tahun ini berjaya menyebarluaskan informasi berkaitan ibadah zakat sekaligus meningkatkan jumlah pembayar zakat bagi memberdayakan golongan mustahiq menerusi skim agihan zakat yang lebih efisien dan efektif.