Firman Allah SWT :
Maksudnya
“…Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
(Surah at-Taubah : 34)
EMAS
Terdapat 2 keadaan untuk pembayaran zakat emas.
Emas Yang Tidak Dipakai
Emas yang tidak dipakai (disimpan sahaja) wajib dikeluarkan zakat apabila mencukupi atau melebihi kadar nisab (85 gram) nilai emas, maka diwajibkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5% atas nilai emas sahaja.
Emas Yang Dipakai
Emas yang dipakai sebagai perhiasan oleh wanita sama ada sekali-sekala atau secara berterusan tidak dikenakan zakat sekiranya ia tidak melebihi ‘uruf (nilai pemakaian setempat yang dibenarkan). Penggunaan ‘uruf ini banyak digunakan oleh pelbagai golongan khususnya bersandarkan kepada Imam An-Nawawi yang berpegang kepada mazhab Asy-Syafie. Sebagai panduan, buat masa ini kadar ’uruf yang digunakan di Pulau Pinang adalah sebanyak 250 gram.