Program kerjasama Zakat Pulau Pinang dan SME Corp. Malaysia ini bertujuan bagi membantu menaik taraf usahawan asnaf Zakat Pulau Pinang dari menerima zakat kepada pengeluar zakat melalui perkongsian maklumat, latihan pembangunan modal insan, pembiayaan serta khidmat nasihat dan bimbingan perniagaan kepada usahawan asnaf di bawah bimbingan SME Corp dan Zakat Pulau Pinang bagi membolehkan peserta program ini menjana pendapatan di dalam perniagaan yang diceburi.
Program TUZPP merangkumi latihan keusahawanan dan pembangunan modal insan, geran perniagaan dan bimbingan dan pemantauan selama 12 bulan. Program ini merupakan satu bentuk agihan zakat produktif yang akan menyumbang kepada agenda pemerkasaan asnaf di Pulau Pinang.
Seramai 49 orang peserta berjaya menamatkan Program TUZPP yang berlangsung di Pusat Latihan Zakat (PULAZA) selama 2 minggu iaitu bermula pada 7 Jun sehingga 21 Jun 2022.
Majlis Penutup Program TUZPP hari ini telah disempurnakan oleh YBhg Dr. Roslan Ahmad, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). Turut hadir, Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee, Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Encik Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Encik Rizal Nany, pegawai-pegawai SME Corp dan Zakat Pulau Pinang.
Semoga dengan usaha dan kerjasama baik ini mampu menjadikan peserta-peserta usahawan berjaya dan seterusnya menjadi penyumbang zakat buat asnaf-asnaf memerlukan di Pulau Pinang.