Majlis Apresiasi Alumni TVET Zakat Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) 2024 ini adalah buat julung kalinya dianjurkan oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) sebagai suatu apresiasi kepada bekas pelajar tajaan ZPP. Seramai 120 orang bekas pelajar tajaan ZPP dari pelbagai sektor hadir dalam majlis ini.
Zakat Pulau Pinang sentiasa merangka kerjasama strategik dengan beberapa agensi dalam TVET untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam Visi PENANG2030 untuk memastikan lebih ramai tenaga kerja industri yang berkemahiran tinggi dilahirkan di negeri Pulau Pinang khususnya dalam kalangan belia-belia asnaf. Antara agensi yang terlibat adalah High Skills Technology Sdn Bhd, Akademi Binaan Malaysia (ABM), Kulim Technology Advanced, DRB Hicom University Automotive
Malaysia, Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) dan lain-lain lagi.
Dalam majlis apresiasi yang diadakan ini juga, Akademi Binaan Malaysia (ABM) telah menyerahkan zakat perniagaan mereka melalui ZPP, MAINPP. Zakat telah diserahkan oleh En. Mohd Nazri Bin Hj Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif ABM Utara. Selain itu, 6 orang pelajar terbaik sewaktu pengajian mereka di agensi masing-masing turut menerima anugerah dalam majlis ini.
YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dalam ucapan penyempurnaan beliau menyeru semua alumni tajaan ZPP agar terus menjadi contoh kepada masyarakat dan membawa manfaat yang berpanjangan kepada keluarga masing-masing serta generasi akan datang.
Beliau turut menyeru agar alumni tajaan ZPP menjadi seorang pembayar zakat yang kembali menyumbang buat pelajar-pelajar asnaf yang lain pula.
Semoga semua alumni tajaan ZPP terus berjaya dalam bidang masing-masing dan menjadi manusia yang memberi manfaat bagi orang lain.