Majlis telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
MAFIT telah dianjurkan saban tahun sebagai tanda apresiasi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang melalui agensinya Zakat Pulau Pinang. Namun pada tahun ini, MAFIT diberikan nilai tambah yang lebih efisien dengan penyertaan daripada Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang berbesar hati memberikan sumbangan bagi Anugerah Kutipan Zakat Fitrah pada tahun 1445H.
Anugerah Kutipan Zakat Fitrah Tahun 1445H/2024 dibahagikan kepada 3 kategori iaitu:
I. Anugerah Peratusan Kenaikan Kutipan Tertinggi – Kategori ini dipilih berdasarkan peratusan kenaikan kutipan berbanding pada tahun sebelum.
II. Anugerah Pengurusan Fitrah Terbaik -Kategori ini dipilih berdasarkan kecekapan dalam pengurusan meliputi kepantasan menghantar borang cadangan amil dan fakir miskin dengan lengkap beserta minit mesyuarat.
III. Anugerah Kutipan Zakat Fitrah Tanpa Tunai Tertinggi (Individu) – Kategori ini dipilih berdasarkan kutipan Zakat Fitrah Tertinggi melalui kaedah tanpa tunai. Pada tahun ini anugerah ini dinilai berdasarkan jumlah transaksi menggunakan Kod QR terbanyak.
Seramai 17 orang pemenang telah dipilih oleh BIMB. Pemenang pertama akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00 dan 16 orang lagi akan menerima saguhati berjumlah RM1,000.00 setiap seorang.
Setinggi-tinggi penghargaan buat BIMB atas sumbangan serta para Amil Zakat Fitrah yang hadir menjayakan majlis yang bermakna ini.