Untuk makluman, Skim Mikro-takaful kepada Asnaf ini merupakan satu inisiatif dari pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk membiayai caruman takaful selama lima tahun kepada asnaf-asnaf terpilih dari seluruh Pusat Zakat Negeri di Malaysia.
Bagi Negeri Pulau Pinang, seramai 100 orang asnaf Zakat Pulau Pinang Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (ZPP MAINPP) telah dipilih bagi mengikuti program ini yang akan memberi manfaat perlindungan kepada asnaf yang telah didaftarkan bermula tempoh 1 Januari 2024 sehingga 31 Disember 2028.
Sehubungan itu, Pihak PNB selaku penaja caruman telah memilih pihak Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB) sebagai syarikat pengeluar caruman perlindungan bagi skim ini.
Selain itu juga, pihak Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ MAIWP) pula bertindak sebagai pemudahcara dan penyelaras bagi skim yang dijalankan di seluruh negara.
Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg Dato’ Hj. Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP MAINPP seterusnya ucaptama daripada En. Rozali Sapiri, Pengurus Cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Butterworth mewakili PNB. Gimik serahan polisi takaful kepada asnaf terpilih telah disempurnakan oleh En. Zaiasmawi Nayan, Pengurus Besar Jabatan Operasi Agihan ZPP MAINPP.
Hadir sama dalam program berkenaan, Tuan Hj. Nor Mukshar Harun, Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat & Pemasaran PPZ MAIWP; Pn. Zurina Yasir, Penolong Naib Presiden TIFB serta pegawai-pegawai PPZ MAIWP, ASNB, TIFB dan ZPP.