Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menerusi agensinya Zakat Pulau Pinang (ZPP) terus memperkasakan skim agihan zakat produktif menerusi pendidikan teknikal dan kemahiran tinggi yang diterjemahkan melalui kerjasama strategik dengan pelbagai institusi kemahiran tinggi termasuk Akademi Binaan Malaysia (ABM).
Pagi tadi, YBhg Dato’ Hj. Rosidi Hussain, Setiausaha MAINPP mewakili YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang telah menyempurnakan gimik penyerahan cek Zakat Pulau Pinang Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang kepada pihak Akademi Binaan Malaysia (ABM) untuk menyokong 20 orang peserta yang telah berjaya diterima ke program Mobile Crane dan Hydraulic Excavator. Replika cek telah diserahkan kepada YBrs. Encik Mohd Nazri Haji Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif (ABM)
Para peserta akan menjalani latihan intensif di ABM selama 2 dan 3 bulan. Semoga bantuan ini dapat memberikan sokongan yang berharga kepada mereka dalam melaksanakan program ini.
ABM merupakan institusi penyedia latihan yang berpengalaman dan terkehadapan dalam membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan cekap untuk industri pembinaan.
ZPP telah membelanjakan sebanyak RM300,000.00 untuk tajaan 20 orang pelajar setiap tahun dan seramai 60 orang pelajar telah dihantar untuk mengikuti program ini bermula dari tahun 2018 sehingga 2023.
Hasrat dan tanggungjawab MAINPP adalah untuk memastikan halatuju dan matlamat penggunaan dana zakat sebagai pemangkin perkembangan sosio dan ekonomi ummah khususnya dalam bidang-bidang kepakaran seperti kemahiran tinggi yang sangat sinonim dengan Pulau Pinang melalui AGENDA PENANG2030.
Semoga usaha ini dapat memberikan manfaat kepada anak-anak asnaf yang di Negeri Pulau Pinang bagi mendapatkan pendidikan serta kemahiran tinggi yang seterusnya membantu diri dan keluarga meningkat taraf kehidupan keluarga.