29 Mac, Seberang Jaya : Bayaran zakat fitrah bagi Pulau Pinang tahun ini ditetapkan pada tiga kadar berbeza iaitu RM7, RM13 dan RM20, meningkat sedikit berbanding tiga kadar sama tahun 2021 iaitu RM7, RM12 dan RM16.
Timbalan Ketua Menteri 1, Dato’ Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, mana-mana individu yang ingin membuat bayaran lebih tinggi berdasarkan keselesaan mengikut harga beras yang dimakan adalah digalakkan.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengumumkan perkara tersebut dalam Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 yang diadakan hari ini.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan anugerah Pengurusan Fitrah Terbaik Tahun 2021. Tiga kategori yang terlibat adalah, Kategori Kutipan Tertinggi, Kategori Peratusan Kenaikan Kutipan Tertinggi dan Kategori Pengurusan Fitrah Terbaik. Sebanyak 18 buah masjid menerima anugerah-anugerah tersebut dengan menyaksikan masing-masing membawa balik hadiah wang tunai.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh seramai 342 orang amil dari seluruh masjid negeri Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali menggalakkan agar umat Islam di negeri Pulau Pinang untuk terus membuat pembayaran melalui dalam talian atau beberapa platform aplikasi digital yang telah disediakan
Turut hadir, YBhg. Tuan Syed Mohamad Nazli Syed Ahmad dan YBhg. Tuan Fadzlee Daie, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Haji Samsudin Bakar, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang serta Pegawai-pegawai Tadbir Agama Daerah.