Salah satu program agihan Zakat Pulau Pinang (ZPP) iaitu Program MASA@SungaiNibong telah mendapat perhatian Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui satu sesi lawatan bersama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) yang berlangsung pada hari ini.
Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan & Pembangunan) JPM bersama YBhg. Datuk Jazmanie bin Shafawi, Setiausaha Bahagian Pembangunan JPM dan diiringi oleh YBhg. Dato Selamat bin Paigo, Ketua Pengarah JAWHAR.
Delegasi lawatan yang memberi fokus mengenai Program Pembangunan Tanah Wakaf di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ini, telah disambut oleh YBhg. Dato’ Haji Samsudin bin Bakar, Setiausaha MAINPP, bersama YBhg. Dato’ Amran bin Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP dan Dr. Shahir Akram Hassan, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), USM.
YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman bersama delegasi telah melawat Projek Pertanian Bandar MASA@SungaiNibong dan kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dengan dua keluarga asnaf yang telah menunjukkan peningkatan taraf hidup hasil manfaat daripada program ini.
Program MASA@SungaiNibong merupakan satu program pembangunan asnaf yang holistik di mana peserta diberi bimbingan dalam aspek pembangunan fizikal, kecekapan bakat, rohani dan jati diri. Pada masa ini jumlah keseluruhan ahli MASA@SungaiNibong ialah seramai 90 orang yang terdiri daripada 17 orang ketua isi rumah dan keluarga masing-masing. Program naungan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Zakat Pulau Pinang, Wakaf Pulau Pinang dan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), USM.