24 Mac 2022, Seberang Jaya : Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), En. Amran Hazali. Ianya telah dihadiri oleh guru-guru penyelaras program MPDCA dari sekolah rendah dan sekolah menengah yang terpilih.
.
ZPP telah memperuntukkan dana sebanyak RM1,846,498.00 di bawah peruntukan asnaf fakir dan miskin untuk program ini.
.
Pada tahun 2022, sebanyak 104 buah sekolah terlibat dengan seramai 6,903 orang pelajar bakal menerima manfaat program MPDCA. Hal ini sekaligus menuntut komitmen seramai kira-kira 1,237 orang guru yang menjadi tenaga pengajar MPDCA.
.
Melalui program MPDCA, pelajar-pelajar di sekolah akan menerima manfaat dari pelbagai program termasuk kelas-kelas tambahan & bengkel menjawab soalan peperiksaan secara percuma. Program yang dimulakan sejak 2006 ini telah meningkatkan prestasi pelajar UPSR dan SPM di negeri Pulau Pinang.
.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, En. Amran Hazali melalui ucapannya turut menyarankan para guru untuk terus berzakat bersama Zakat Pulau Pinang melalui potongan gaji secara bulanan demi manfaat asnaf yang memerlukan di negeri Pulau Pinang. Dalam majlis tersebut, En. Amran Hazali turut menyerahkan surat kuasa kepada guru-guru penyelaras yang terlibat. Taklimat telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Rosdan Mohamad, Ketua Bahagian Institusi Dan Pendidikan ZPP.
.
Turut hadir dalam majlis ini Tuan Haji Roland @ Rozaidi Abu Hassan, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang mewakili Pengarah Jabatan Negeri Pulau Pinang, En. Hafizuddin Fareis Fisal, Penolong Pengarah, Unit Teknologi Maklumat & Komunikasi Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan En. Mohamad Fuad Md. Isa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pentadbiran Zakat Pulau Pinang.
.
ZPP berharap semoga program ini mendapat keberkatan dan ganjaran yang terbaik dari Allah buat semua yang terlibat. Ameen.