Selesai sudah Majlis Apresiasi Usahawan Zakat Pulau Pinang (ZPP) Tahun 2024 yang berlangsung di Amari Spice Hotel, Bayan Baru. Majlis telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)
Penganjuran majlis ini merupakan salah satu cara ZPP merakamkan ucapan penghargaan buat usahawan-usahawan yang telah terlibat dalam Skim Agihan Usahawan ZPP. Skim ini merupakan salah satu usaha ZPP memperkasakan usahawan asnaf (asnaf empowerment) khususnya peniaga-peniaga kecil Muslim di Pulau Pinang agar mampu mengembangkan perniagaan dan seterusnya menjadikan mereka daripada seorang mustahik (penerima) kepada seorang muzakki (pembayar zakat).
Seramai 68 orang usahawan ZPP telah berjaya menjadi penyumbang zakat setakat ini. Dalam majlis ini juga, seorang usahawan ZPP telah menyerahkan zakat perniagaan terkumpul daripada usahawan-usahawan ZPP yang berjumlah RM62,401 kepada Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.