Zakat Fitrah

ZAKAT FITRAH

Zakat Fitrah merupakan suatu amalan yang dapat menyucikan diri manusia dari sudut peribadatan. Ia juga dikenali sebagai zakat diri (badan) yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

DALIL ZAKAT FITRAH

Hadis Nabi SAW:

“Rasullullah S.A.W telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas manusia dengan mengeluarkan satu gantang kurma atau satu gantang syair ke atas tiap orang merdeka atau hamba lelaki atau perempuan yang terdiri daripada orang Islam.”

(Riwayat Muslim)

Diberitakan oleh Ibnu Abbas R.A:

“Rasulullah S.A.W telah memfardhukan zakat fitrah (pada bulan Ramadhan) untuk menyucikan bagi orang yang berpuasa daripada segala perkataan yang keji dan buruk, (yang dilakukan ketika berpuasa) dan untuk menjadikan makanan bagi orang-orang yang miskin..”

(Riwayat Ibnu Majah)

SYARAT WAJIB ZAKAT FITRAH

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

  1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

  2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

  3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

  4. Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

KADAR ZAKAT FITRAH

Nilai zakat fitrah bagi negeri Pulau Pinang pada tahun 1446H / 2025M ialah RM7.00, RM10.00, RM15.00 dan RM25.00 seorang.

1. RM7.00

Bagi kumpulan yang memakan beras jenis super special tempatan 5%, beras hancur atau lain-lain jenis yang setara dengannya.

2. RM10.00

Bagi kumpulan yang memakan beras jenis beras putih import atau lain-lain jenis yang setara dengannya.

3. RM15.00

Bagi kumpulan yang memakan beras rebus, thai white rice, beras perang atau yang setera dengannya.

4. RM 25.00

Bagi kumpulan memakan beras jenis berkualiti tinggi seperti beras wangi, beras pulut, beras herba ponni, beras calrose, beras merah import dan beras basmathi atau yang setara dengannya.

WAKTU-WAKTU PENGELUARAN ZAKAT FITRAH

  1. Waktu Wajib – Setelah terbenam matahari bulan Ramadan sehingga terbit fajar bulan Syawal.

  2. Waktu Afdal (sunat) – Setelah terbit fajar 1 Syawal sehingga sebelum solat sunat Aidilfitri.

  3. Waktu Harus – Sepanjang bulan Ramadan.

  4. Waktu Makruh – Selepas solat sunat Aidilfitri sehingga sebelum terbenam matahari 1 Syawal (tanpa sebarang keuzuran).

  5. Waktu Haram – Selepas terbenam matahari 1 Syawal (tanpa sebarang keuzuran) dan wajib segera qada.

Walau bagaimanapun dinasihatkan supaya zakat fitrah dikeluarkan pada hari pertama bulan Ramadhan sehingga sebelum sembahyang hari raya pada satu Syawal bagi mengelakkan kesukaran kepada amil-amil yang mengutip zakat.

Berkenaan waktu yang paling afdhal mengeluarkan fitrah, terdapat berbagai pendapat ulama’, tetapi yang pastinya ianya dikeluarkan sebelum sembahyang Hari Raya.

Sebagaimana yang dijelaskan melalui hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah seperti berikut yang bermaksud:

“…Maka sesiapa mengeluarkan (fitrah) sebelum sembahyang Hari Raya maka itulah zakat yang diterima dan sesiapa mengeluarkannya sesudah sembahyang Hari Raya maka pengeluarannya itu merupakan sedekah sahaja.”

(Riwayat Ibnu Majah)

 

 

Amanah Ummah Dijaga, Hak Asnaf Dibela

Welcome Back!

Login to your account below

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Add New Playlist