SOALAN LAZIM BERKAITAN ZAKAT
Menghimpunkan soalan-soalan yang sering diajukan oleh muzakki dan juga mustahik.
Simpanan KWSP
SOALAN
Saya mengeluarkan wang dari simpanan KWSP, adakah perlu dikeluarkan zakat setelah wang tersebut saya terima?
JAWAPAN
Saudari hendaklah mengeluarkan 2.5% daripada jumlah wang yang telah saudari keluarkan sebagai menunaikan zakat yang wajib. (al-mal al-mustafad).
Zakat Saham
SOALAN
Saya kurang faham berkaitan dengan zakat saham. Ini kerana sebelum ini saya belum pernah mendengar adanya zakat saham ini. Bolehkah ustaz terangkan kepada saya?
JAWAPAN
Zakat ke atas saham tidak perlu dibayar sekiranyanya syarikat saham tersebut telah mengeluarkan zakat perniagaan bagi pihak pemegang-pemegang sahamnya.
Tetapi sekiranya syarikat tidak mengeluarkannya, maka wajiblah bagi setiap pemegang saham membayarnya seperti berikut:
Keadaan pertama
Jika pemilik saham bertujuan untuk melabur di dala syarikat bagi mendapat hasil dividen setiap tahun, zakat dikenakan pada kadar 2.5% ke atas dividen sahaja. (Jumlah dividen yang diterima dicampurkan dengan lain-lain pendapatan bagi tujuan menentukan nisab).
Keadaan kedua
Jika sijil saham dimiliki untuk tujuan diperniagakan berdasarkan harga pasaran semasa. Contohnya saham yang disediakan oleh Bursa Saham, zakat dikenakan pada kadar 2.5% ke atas nilai pasaran saham yang dimiliki pada akhir haul serta keuntungan yang diperolehi dari aktiviti jual beli saham sepanjang tahun.
Beza Zakat Pendapatan dan Zakat Simpanan
SOALAN
Saya telah membuat potongan zakat berjadual atas gaji/pendapatan saya setiap bulan. Setiap bulan juga saya membuat simpanan dari gaji saya ke dalam bank. Adakah perlu saya mengeluarkan zakat simpanan sedangkan saya juga telah membayar zakat pendapatan? Ini bermakna saya telah membayar dua kali zakat dari sumber yang sama?
JAWAPAN
Zakat Pendapatan dan Zakat Simpanan adalah dua jenis zakat yang berbeza walaupun dari sumber yang sama. Zakat Pendapatan dikira dari sumber pendapatan semasa manakala Zakat Simpanan dikira selepas genap setahun simpanan tersebut dan mencukupi nisab.
Perlu Keluar Zakat Wang Simpanan Berapa Kali?
SOALAN
Adakah benar wang simpanan (sempurna milik) yang telah cukup nisab dan haulnya hanya perlu dikeluarkan zakatnya sekali sahaja? Iaitu tahun pertama sahaja. Sekiranya wang tersebut masih kekal jumlah dan nisabnya untuk tahun kedua, ketiga dan seterusnya, tidak perlu dikeluarkan zakatnya untuk tahun kedua, ketiga dan seterusnya. Sekian, terima kasih.
JAWAPAN
Wajib dikeluarkan zakat pada setiap tahun mengikut jumlah simpanan yang mencukupi nisab dan haul.
Pengiraan Zakat Padi
SOALAN
Tolong tunjukkan cara pengiraan zakat padi bagi negeri Pulau Pinang.
JAWAPAN
Pengiraan zakat pagi (tanaman) adalah tertakluk ke atas jualan padi setelah ditolak kos yang dibenarkan.
Jika nilai jualan padi musim pertama adalah kurang dari nisab, maka hendaklah dicampurkan ke musim kedua di dalam tahun yang sama.
Nisab pagi ialah sebanyak 363 gantang atau 1,300KG atau 1.3 tan bersamaan nilai RM715.00.
Apa Itu Zakat Wang Simpanan?
SOALAN
Bolehkah terangkan bagaimanakah yang dikatakan zakat wang simpanan?
JAWAPAN
Bagi menentukan sama ada wang simpanan tersebut dikenakan zakat atau tidak, hendaklah dipastikan:
-
Genap setahun (1) hijrah dalam simpanan (cukup haul).
-
Mencukupi nisab (85 gram emas X nilai emas semasa) bagi tahun berkenaan. Contohnya: 85g X RM 142.95 = RM12,150.75. Maknanya wang simpanan hendaklah bersamaan atau melebihi jumlah tersebut.
-
Dikira atas baki terendah dalam setahun.
-
Ditolak faedah.
-
Sekiranya saudara mempunyai pelbagai akaun simpanan:
-
Untuk menentukan baki terendah, semua akaun simpanan tersebut perlu disatukan. Biarpun mempunyai pelbagai akaun simpanan, tetapi pada hakikatnya pendeposit mempunyai satu simpanan sahaja.
-
Jika simpanan dalam satu akaun sudah mencukupi nisab, maka simpanan di dalam akaun-akaun lain (walaupun kurang dari nisab) adalah diwajibkan zakat.