TAHUN 2021
1) Kajian Zakat Emas Perhiasan Berdasarkan Uruf: Kajian Ke Atas Wanita Islam Negeri Pulau Pinang
Oleh: Kumpulan Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Di Negeri Pulau Pinang, Undang-Undang Agama Islam Negeri telah memakai pandangan Mazhab Syafi’i berkaitan dengan pengecualian zakat emas perhiasan. Pandangan ini selaras dengan peruntukan mengenai qawl muktamad yang diperuntukkan dalam Seksyen 54, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 yang mengutamakan pandangan daripada Mazhab Syafi’i dan pandangan-pandangan yang lebih menepati maslahat. Bagi qawl muktamad tentang zakat emas perhiasan, pandangan daripada al-Nawawi telah dirujuk bahawa tidak dikenakan zakat ke atas emas yang dipakai sebagai perhiasan oleh wanita sama ada sekali-sekala atau secara berterusan sekiranya ia tidak melebihi uruf (nilai pemakaian setempat yang dibenarkan). Manakala kadar uruf yang berasaskan berat telah ditetapkan di Pulau Pinang iaitu sebanyak 165 gram. Kadar ini telah ditetapkan lama dahulu dan berdasarkan maklumat semasa, tidak dapat dipastikan tahun kelulusan mengenai kadar berat uruf ini. Persoalan sama ada berat ini masih sesuai untuk pelaksanaan aplikasi semasa adalah merupakan soalan utama bagi cadangan kajian ini. Justeru, keadaan ini memerlukan satu kajian baru dilakukan bagi mendapat satu dapatan yang terkini mengenai uruf semasa wanita Pulau Pinang memakai emas perhiasan.