Penyelidikan

PENYELIDIKAN ZAKAT PULAU PINANG, MAINPP

TAHUN 2021

1) Kajian Zakat Emas Perhiasan Berdasarkan Uruf: Kajian Ke Atas Wanita Islam Negeri Pulau Pinang
Oleh: Kumpulan Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Di Negeri Pulau Pinang, Undang-Undang Agama Islam Negeri telah memakai pandangan Mazhab Syafi’i berkaitan dengan pengecualian zakat emas perhiasan. Pandangan ini selaras dengan peruntukan mengenai qawl muktamad yang diperuntukkan dalam Seksyen 54, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 yang mengutamakan pandangan daripada Mazhab Syafi’i dan pandangan-pandangan yang lebih menepati maslahat. Bagi qawl muktamad tentang zakat emas perhiasan, pandangan daripada al-Nawawi telah dirujuk bahawa tidak dikenakan zakat ke atas emas yang dipakai sebagai perhiasan oleh wanita sama ada sekali-sekala atau secara berterusan sekiranya ia tidak melebihi uruf (nilai pemakaian setempat yang dibenarkan). Manakala kadar uruf yang berasaskan berat telah ditetapkan di Pulau Pinang iaitu sebanyak 165 gram. Kadar ini telah ditetapkan lama dahulu dan berdasarkan maklumat semasa, tidak dapat dipastikan tahun kelulusan mengenai kadar berat uruf ini. Persoalan sama ada berat ini masih sesuai untuk pelaksanaan aplikasi semasa adalah merupakan soalan utama bagi cadangan kajian ini. Justeru, keadaan ini memerlukan satu kajian baru dilakukan bagi mendapat satu dapatan yang terkini mengenai uruf semasa wanita Pulau Pinang memakai emas perhiasan.

Keputusan Fatwa:

Bersetuju bahawa uruf semasa pemakaian emas perhiasaan dalam kalangan wanita Islam Pulau Pinang adalah sebanyak 250 gram.

2) Kajian Hukum Pembayaran Zakat Melalui e-Wallet di Zakat Pulau Pinang
Oleh: Unit Tugas-Tugas Khas Zakat Pulau Pinang

Keputusan Fatwa:
(i). Hukum menggunakan aplikasi e-wallet sebagai alat pembayaran kutipan zakat di Pulau Pinang adalah harus dengan syarat dipastikan penyedia/syarikat aplikasi e-wallet adalah patuh syariah.
(ii). Bersetuju dengan permohonan Shopee sebagai platform e-wallet pembayaran zakat di Pulau Pinang dan hukumnya adalah harus. Pihak Zakat Pulau Pinang hendaklah memastikan;
a. Transaksi pembayaran zakat melalui Shopee menggunakan platform perbankan Islam sepenuhnya;
b. Pemberian intensif tertentu yang menggunakan dana zakat untuk galakan membayar zakat bagi pembayar zakat yang menggunakan e-wallet tidak menjejaskan dana zakat asnaf fakir dan miskin.

Keputusan Fatwa:

Hukum menggunakan aplikasi e-wallet sebagai alat pembayaran kutipan zakat di Pulau Pinang adalah HARUS dengan syarat dipastikan penyedia/syarikat aplikasi e-wallet adalah patuh syariah.

TAHUN 2020

1) Kajian Semakan Pentepan Kadar Nisab Zakat Tanaman (Padi) Mengikut Uruf Di Pulau Pinang
Oleh: Unit Tugas-Tugas Khas & Jawatankuasa Panel Syariah Zakat Pulau Pinang

Di Pulau Pinang, kadar Nisab Padi diguna pakai selama ini adalah sebanyak 363 gantang yang bersamaan dengan 1300 kilogram (kg). Namun, kepelbagaian takaran kilogram yang berlaku kerana setiap negeri berijtihad menetapkan takaran sa’ (gantang) ini berdasarkan bentuk saiz model gantang yang diwarisi. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang Bil.2/2019 yang bersidang telah memohon Zakat Pulau Pinang menilaikan kembali kadar nisab berdasarkan sukatan mengikut uruf dengan mengambil kira pandangan ulama’. Oleh yang demikian satu kajian telah dilaksanakan oleh Zakat Pulau Pinang untuk mendapatkan kadar nisab zakat padi berdasarkan sukatan mengikut uruf dengan mengambil kira pandangan ulama’.

Keputusan Fatwa:

Bersetuju bagi menerima pakai kadar baru Nisab Zakat Padi Berdasarkan Uruf Semasa bagi Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 363 gantang bersamaan dengan 1200 kg.

TAHUN 2019

1) Kajian Penetapan Had al-Kifayah Penduduk Negeri Pulau Pinang
Oleh: Kumpulan Penyelidik Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang (UiTM)

Melihat perspektif di Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Agensi Mengurus Zakat menggunakan Had Al-Kifayah sebagai kayu ukur kemiskinan manakala kaedah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) digunakan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri. Oleh yang demikian, kajian had al- kifayah perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan kadar Had Al-Kifayah sentiasa relevan dengan ekonomi semasa.Di negeri Pulau Pinang, Zakat Pulau Pinang (ZPP) memainkan peranan penting dalam menentukan kelayakan pemohon zakat. Kaedah pengiraan Had Al-Kifayah adalah instrumen yang digunapakai dalam penilaian permohonan zakat. Penentuan kaedah kelayakan perlulah diteliti dan perlu mempunyai satu sistem yang tersusun. Hasil pengiraan had al-kifayah dapat memutuskan sama ada pemohon layak atau sebaliknya. Kali terakhir kajian Had Al-Kifayah bagi Negeri Pulau Pinang dilakukan adalah pada tahun 2003. Justeru, kajian dan penetapan semula Had Al-Kifayah amat diperlukan oleh ZPP khususnya dalam menentukan kelayakan pemohon zakat dan disesuaikan dengan keperluan masa dan tempat agar ia terus kekal relevan dengan peningkatan kos sarahidup, jumlah pendapatan dan ekonomi semasa.

Keputusan Fatwa:

Bersetuju dengan cadangan penetapan Had al-Kifayah Penduduk Negeri Pulau Pinang.

 

 

Amanah Ummah Dijaga, Hak Asnaf Dibela

Welcome Back!

Login to your account below

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Add New Playlist