Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Politeknik Seberang Perai (PSP) hari ini menandatangani satu perjanjian kolaborasi industri (CoC) bagi melantik PSP sebagai Wakil Agihan (Wakalah) untuk mengagihkan sendiri wang zakat secara potongan gaji kakitangan PSP kepada golongan asnaf dari kalangan pelajar dan juga kakitangan yang memerlukan berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
CoC telah ditandatangani oleh YBhg Dato’ Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, MAINPP dan YBrs Sr. Harith Fadzilah Abd Khalid, Pengarah Politeknik Seberang Perai sambil disaksikan oleh YBhg En. Mohamad Kairi Ghazalli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi ZPP dan YBrs Puan Norazmira Zainuddin, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.
Institusi Pendidikan Tinggi lain di Pulau Pinang yang turut dilantik sebagai Wakil Agihan ZPP adalah seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang
Sewaktu zaman Rasulullah SAW di Madinah turut telah diperkenal dan dipraktikkan wakil kutipan dan agihan dalam urusan zakat, di mana Baginda SAW telah melantik dan mengutus wakil-wakilnya untuk mengumpulkan zakat dan membahagikannya kepada golongan asnaf.
Justeru, adalah menjadi hasrat ZPP agar PSP menjadi pemudahcara antara ZPP dengan golongan asnaf dalam kalangan warga PSP. Dengan kata lain, Wakil Agihan dilantik kerana ia lebih hampir dengan pembayar setempat serta golongan asnaf, dan mengetahui tentang kekurangan yang lebih mustahak untuk dibantu khususnya dalam kalangan asnaf fakir, miskin, fisabilillah dan Ibnu Sabil di kalangan warga PSP sendiri.