Seramai 1,868 orang Guru Agama dan Al-Quran menerima saguhati sumbangan Zakat Pulau Pinang (ZPP) melalui dana skim agihan fi sabilillah.
Sumbangan tersebut diumumkan oleh YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Saguhati Guru Agama Dan Al-Quran Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.
Majlis yang diadakan saban tahun ini adalah bagi menghargai dan meraikan Guru-guru Agama dan Al-Quran yang mengajar secara sukarela di masjid, surau dan institusi khas di seluruh Negeri Pulau Pinang. Majlis telah dimulakan dengan ceramah yang disampaikan oleh Tuan Haji Ahmad Ridoudin bin Abdul Wahab, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
Jumlah keseluruhan saguhati bagi Guru Agama yang diagihkan adalah berjumlah RM399,200.00, manakala jumlah keseluruhan bagi saguhati Guru Al-Quran pula adalah sebanyak RM820,200.00. Guru Al-Quran menerima RM600.00 seorang secara ‘one off’ dan 499 orang Guru Agama menerima sebanyak RM800.00 seorang.
Sumbangan saguhati ini diharap dapat memberi suntikan semangat kepada Guru Agama dan Al-Quran dalam memartabatkan pendidikan agama dan al-Quran di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Dato’ Amran Hazali dalam ucapannya turut berharap agar Guru Agama dan Al-Quran dapat membantu dakwah Zakat Pulau Pinang dengan menghebahkan kewajipan zakat kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu.