7 Disember 2021, Prai : Zakat Pulau Pinang telah menyalurkan sebanyak RM10,425,000.00 bagi Bantuan Dermasiswa Pengajian kepada pelajar- pelajar asnaf di Pulau Pinang. Jumlah ini meliputi pembiayaan yuran pengajian kepada 2,568 orang pelajar yang belajar di institusi pengajian tinggi dalam negara yang merangkumi peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana (master) dan ijazah doktor falsafah (Ph.D). Tidak ketinggalan, bantuan ini juga meliputi pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran khususnya di bidang Pengajian Islam dan perubatan di luar negara seperti di Mesir, Jordan, Morocco, Lubnan dan Indonesia. Untuk makluman, bagi serahan saguhati Guru Agama pula, Zakat Pulau Pinang telah menyalurkan dana zakat sebanyak RM232,000.00 bagi menyantuni 290 orang guru-guru agama di Pulau Pinang. Guru-guru agama yang terlibat akan menerima saguhati sebanyak RM800.00 seorang secara sekaligus. Penyerahan kedua- dua bantuan ini telah diadakan serentak dalam satu Majlis Penyerahan Bantuan Dermasiswa Pengajian dan Saguhati Guru Agama. Majlis bertempat di Hotel Ixora ini telah disempurnakan oleh Timbalan YDP MAINPP, YBhg Dr Roslan bin Ahmad sambil disaksikan oleh CEO ZPP, YBrs En. Amran bin Hazali. Majlis turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Bantuan IPT MAINPP, YBhg. Tuan Syed Mohamad Nazli bin Syed Ahmad, Pengarah JHEAIPP, Dato’ Mohd Zakuan bin Haji Zakaria dan Setiausaha MAINPP, YBhg. Dato’ Haji Samsudin bin Bakar.