PERAI – Sembilan syarikat korporat menyerahkan zakat perniagaan bagi haul 2021 kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) berjumlah RM2,683,320.05 dalam satu majlis yang diadakan petang kelmarin.
UDA Land North Sdn Bhd membuat pembayaran berjumlah RM713,212.90; diikuti Etiqa Takaful Sdn Bhd (RM449,930.00); Pertubuhan Peladang Kebangsaan (RM384,357.07); Bank Islam Malaysia Berhad (RM365,000.00); FGV Holdings Berhad (RM 221,628.00); Bank Muamalat Malaysia Berhad (RM 144,942.61); Mydin Iman Ikhlas Sdn Bhd (RM150,000.00); Dagang Net Technologies Sdn Bhd (RM130,000.00) dan Takaful Malaysia (RM124,249.47).
Mewakili ZPP, Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, YBhg. Dato’ Ir. Hj. Samsudin Bakar, menerima pembayaran zakat perniagaan daripada wakil syarikat korporat berkaitan dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, En. Amran Hazali.
“Saya percaya peningkatan kutipan zakat akan memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu penyediaan dana bantuan zakat kepada golongan yang memerlukan untuk menjamin kelangsungan hidup masyarakat Muslim di Pulau Pinang pada masa hadapan.,” jelas Dato’ Ir. Hj. Samsudin Bakar.
Sebelum itu, En. Amran Hazali memberitahu ZPP sedang melaksanakan program-program pemerkasaan asnaf melalui skim agihan produktif yang dijalankan menerusi program usahawan asnaf serta program pendidikan asnaf. Menerusi rangkaian kolaborasi bersama rakan-rakan strategik, ZPP berharap dapat melahirkan prospek penerima asnaf yang akan berjaya menjadi seorang usahawan serta mukmin profesional di masa hadapan.
Majlis pada petang kelmarin turut disertai Mufti Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor serta barisan Ahli Lembaga Pengarah ZPP.
Turut hadir dan menyerahkan zakat, En. Zainudin Deni, Ketua Pegawai Operasi Uda Land North Sdn Bhd; Pn Haslinda Binti Omar, Regional CEO, Northern Region Etiqa Takaful Berhad; En. Mohammad Fauzie Bin Tamin, Pengurus Bahagian Pemasaran NAFAS; En. Mohd Izhar Pawancik, Penolong Pengurus Besar, Bahagian Rangkuman Kewangan Bank Islam Malaysia Berhad; En. Che Mohd Hanazi Bin Che Lah, Regional Controller FGV Plantations Malaysia Sdn Bhd; En. Azmin Bin Dato’ Hj Saduruddin, Pengarah Eksekutif Iman Ikhlas (M) Sdn. Bhd. Merangkap Pengurus Besar Mydin Wilayah Utara; Ustaz Mohd Izuwa Mahyudin, Ketua Jabatan Shariah, Ibu Pejabat Bank Muamalat Malaysia Berhad; En. Wan Ahmad Syatibi Wan Abd Manan, Chief Executive Officer, Dagang Net Technologies Sdn Bhd dan En. Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad.