Divisyen Projek Khas, Zakat Pulau Pinang (ZPP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah menganjurkan satu Bengkel Pemasaran Digital khusus untuk usahawan-usahawan wanita bimbingan ZPP. Bengkel yang diadakan pada 17 Disember 2024 lalu di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas ini telah dihadiri seramai 75 orang peserta.
Para peserta mendapat bimbingan terus daripada salah seorang Jurulatih TikTok terkenal, @Wfsufina, yang berkongsi ilmu serta tips eksklusif untuk menjadi pencipta kandungan yang berjaya.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited dalam menyokong inisiatif yang mendukung agenda pembangunan Islam dan kesejahteraan masyarakat. Melalui pelaksanaan agenda reformasi institusi Islam di bawah Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), pelbagai usaha sedang dirancang untuk memperkasakan ummah, termasuk golongan wanita.
Bengkel ini diharapkan dapat membantu peserta memahami teknik dan strategi bagi memperkukuh kehadiran perniagaan mereka di platform digital yang semakin popular.
Bengkel Pemasaran Digital (TikTok) Bersama Usahawan Wanita Zakat Pulau Pinang, MAINPP ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang. Turut hadir, Dato’ Haji Alias Haji Ali, Pengarah Urusan Pak Ali Food Industries Sdn. Bhd. merangkap Ahli Lembaga Pengarah ZPP dan Dato’ Haji Amran Hazali, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP.
Semoga dengan program ini usahawan-usahawan wanita bimbingan ZPP dapat memperkasa perniagaan masing-masing, seterusnya menjadi insan yang bermanfaat serta pembayar zakat yang berjaya. Tahniah dan syabas buat semua peserta kursus.