15 DISEMBER 2021, PERAI – Bersempena Sambutan Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang Tahun 2021, Zakat Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang telah menganjurkan Seminar Isu Kefatwaan Zakat 2021 (SifZa2021) dan Pelancaran Buku Rekayasa Zakat.
Dalam program yang julung kali diadakan ini, isu-isu kefatwaan zakat terkini seperti Kajian Zakat Emas Perhiasan Berdasarkan Uruf di Negeri Pulau Pinang dan Kajian Penetapan Had Kifayah Asnaf Negeri Pulau Pinang telah dibentangkan oleh Panel Penyelidik yang terdiri daripada Universiti Teknologi Mara Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia melalui geran penyelidikan Zakat Pulau Pinang. Dua kajian yang dibentangkan di dalam seminar ini merupakan kajian semakan terhadap keperluan muzakki dan mustahiq dalam pengurusan zakat masa kini di Pulau Pinang.
Kajian Zakat Emas Perhiasan Berdasarkan Uruf di Negeri Pulau Pinang merupakan kajian semakan yang dilakukan selepas sekian lama Zakat Pulau Pinang menggunakan kadar 165 gram ke atas keseluruhan emas bagi dikenakan zakat. Hasil kajian yang terbaharu ini telah menetapkan kadar 250 gram pemakaian emas yang melebihi uruf dikenakan zakat seperti yang dibentang oleh panel penyelidik dalam seminar berkenaan.
Kajian penentuan had Kifayah Asnaf Negeri Pulau Pinang pula adalah kajian semakan terhadap had kifayah yang dilaksanakan sejak tahun 2003. Releven semakan had kifayah ini adalah keperluan yang mendesak disebabkan perubahan reality kehidupan dari segi kos sara hidup yang meliputi parameter terkini dalam kelangsungan hidup seseorang individu.
Dalam SifZa2021 ini juga, Zakat Pulau Pinang telah melancarkan sebuah buku bertajuk Rekayasa Zakat. Buku hasil suntingan Dr. Mohamad Salleh Abdullah dan Dr Wafdi Auni Mohamed ini mengumpulkan 65 artikel daripada Pertandingan Penulisan Artikel Popular Zakat yang diadakan sempena Sambutan 25 Tahun Zakat Pulau Pinang pada tahun 2019 yang lalu serta artikel-artikel yang pernah disiarkan dalam akhbar Sinar Harian. Buku ini menampilkan gabungan pelbagai cadangan dan percambahan fikiran yang boleh digunakan dalam mentransformasikan pengurusan zakat secara menyeluruh.
Majlis penutup SifZa2021 disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ IR Haji Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman. Turut hadir, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YBhg. Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, YBhg Encik Muhasdey Muhamad dan YBhg Dr. Wan Nor Hassan, Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang.