15 DISEMBER 2021, PERAI – Satu Majlis Penandatanganan Memorandum Perjanjian di antara Zakat Pulau Pinang dengan GrabCar telah diadakan sempena Sambutan Bulan Zakat Negeri Pulau Pinang Tahun 2021.Program kerjasama Zakat Pulau Pinang dengan Grab Sdn. Bhd. ini adalah satu usaha kempen berzakat dalam kalangan pemandu Grab dan penghantar makanan Grab yang beragama Islam bagi memudahkan mereka menunaikan kewajipan rukun Islam ketiga iaitu menunaikan zakat pendapatan. Usaha kerjasama ini bertitik tolak sejak viral kisah seorang rider Grab Food datang ke kaunter Zakat Pulau Pinang untuk membayar zakat pendapatan suatu ketika dahulu. Dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) ini, pemandu atau penghantar makanan Grab boleh menunaikan zakat setiap kali menerima penumpang atau tempahan yang mana bayaran zakat ditolak secara automatik daripada upah yang diterima oleh mereka. Kaedah ini dapat memastikan setiap upah yang diperoleh pemandu atau penghantar adalah bersih.Berdasarkan fatwa mengenai kewajipan zakat penggajian/pendapatan yang diwartakan oleh Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang pada 26 April 2001 bahawa seseorang dikenakan zakat atas pendapatan atau penggajian yang diterima sebagai gaji atau upah kerja atau perkhidmatan yang dilakukan mengikut masa tertentu termasuk elaun, imbuhan atau bonus daripada apa-apa pekerjaan dan perkhidmatan profesional dan bukan profesional.
MOA ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang, Encik Amran Hazali dan Encik Azlan Bin Anwar, Ketua Pembangunan Bisnes dan Kerjasama Strategik – Wilayah Utara Grabcar Sdn Bhd. Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, YB. Dato’ IR Haji Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Fahmi Abu Bakar. Turut hadir, YBhg Encik Muhasdey Muhamad dan YBhg Dr. Wan Nor Hassan, Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang.
Semoga dengan usaha murni GrabCar Sdn Bhd ini dapat memberikan kesedaran dan peluang berzakat dalam kalangan pemandu atau penghantar makanan Grab di Pulau Pinang sekaligus memberi manfaat dan impak yang besar kepada pembayar dan penerima zakat khususnya di negeri Pulau Pinang.